Cahaya Hidayah

Hati, Ujian dan Kepatuhan

Belajarlah Untuk Berdiplomasi.. Contohilah Rasulullah!

leave a comment »

Jun 10th, 2007 by Muhtar Suhaili

 

No SuCCESS Without “U”.. T.E.A.M: Together Everyone Achieves More!” 

As-Sarawaki, 10 Jun 2007:

Memang amat indah sekiranya semua impian kita menjadi nyata.. Memang menyeronokkan sekiranya setiap masa kita sentiasa menang.. Memang menggembirakan andai segala cita-cita mampu diraih.. Memang asyik kalau kita sentiasa disanjung dan dipuji.. Memang bahagia seandainya setiap perkara yang kita usahakan berjaya dan berjalan lancar seperti dirancang dan dikehendaki.. Dan memang best jika pendapat kita sentiasa diterima pakai.. 

Namun realitinya di dalam kehidupan ini, kadang-kadang ada impian kita yang tidak kesampaian.. Pada masa-masa tertentu, kita perlu mengalah.. Kita juga perlu terima hakikat bahawa ada sebahagian daripada cita-cita kita mungkin akan gagal terlaksana atau kurang berjaya.. Akan tiba saatnya kita perlu terima kritikan malah mungkin cacian bila kita silap melangkah.. Ada ketikanya perkara yang kita usahakan secara bersungguh-sungguh hanya sekerat jalan dan kemudiannya terbengkalai atas sebab yang tidak dapat dielakkan..

Dan akan ada masa ketikanya, ada baiknya kita menjadi pendengar yang baik. Bukankah salah satu ciri pemimpin yang baik mestilah seorang pendengar yang baik?   Di sini, ada beberapa pesanan berharga yang sebenarnya merupakan kata-kata hikmat daripada guru-guru saya yang amat wajar untuk kita gunapakai:

 1. If you want to satisfy everybody, you’ll satisfy nobody.

2. If you don’t stand for something, you’ll fall for everything.

3. In a full heart, there is room for everything; but in an empty heart there is room for nothing!

4. In matters of style, swim with the current; but in matters of principle, stand like a rock! 

Secara ringkasnya, apa yang ingin saya sampaikan melalui entry ini ialah dalam kita melaksanakan segala gerak kerja dakwah dan islah, ada masanya kita perlu belajar untuk berdiplomasi. Namun berdiplomasi bukan dengan menggadaikan prinsip.. Berdiplomasi juga bukan untuk melemahkan semangat.. Dan berdiplomasi juga hendaklah tidak membawa kepada tandus fikrah dan mati hati! Namun berdiplomasi itu diadaptasi demi menjaga maslahah dakwah dan kerukunan usaha islah.. Marilah contohi Rasulullah!  

As Imam As-Shafi’i had said…”  

Berikut dikongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian, satu penulisan Prof. Dr. Hamka bertajuk “Rasulullah Sebagai Seorang Diplomat” yang disunting dari buku Lembaga Hikmat. Semoga ada manfaat dan khairnya.

 

Harus kita tilik bagaimana kebesaran Rasulullah dari segala segi. Kadang-kadang kita lihat baginda sebagai ketua perang yang gagah berani, tetapi kadang-kadang pula sebagai seorang suami yang sangat cinta kepada isterinya. Kadang-kadang sebagai seorang sahabat yang sangat setia kepada sahabatnya.

 

Orang-orang yang kurang menyelidiki perjalanan sirah, hanya membaca buku-buku fiqh yang keras-keras, banyak berkata: “Menjalankan agama tidak perlu pakai diplomasi!”.

 

Perkataan yang demikian timbul kerana kependekan pengalaman, dan kekurangan ilmu dalam pelajaran Islam.

 

Apakah Rasulullah tidak menggunakan diplomasi?

 

La ilaha illalLah, Muhammadur RasulullahLa ilaha illalLah, Muhammadur RasulullahLa ilaha illalLah, Muhammadur Rasulullah

 

Untuk melihat diplomasi Rasulullah SAW – harus kita perhatikan ketika di Hudaibiyah, ketika baginda dihalangi oleh pembesar-pembesar Quraish tatkala hendak mengerjakan Umrah dan Haji.

 

Baginda bermimpi pada suatu malam, bahawa baginda pergi berziarah bersama-sama sahabatnya, Muhajirin dan Anshar ke Mekah, bertawaf keliling Kaabah. Dan pekerjaan itu selesai dikerjakannya dengan sempurna, dia pulang ke Madinah, rambutnya telah digunting dan bercukur.

 

Mimpi itu sangat mempengaruhi kepada hati beliau, terbayanglah rupa Kaabah yang telah lama ditinggalkan, negara tumpah darah sendiri, terbayang nyata dan timbul minat dalam hati hendak ke Mekah, menyempurnakan mimpi itu.

 

Alangkah kecewanya baginda dan sahabat-sahabat, sebab di Hudaibiyah, sudah dekat benar ke Mekah, mereka ditunggu dan dihambat oleh pembesar-pembesar Quraish, mereka dihalangi masuk Mekah. Beberapa sahabat yang hanya menurutkan perasaan hati saja, menentang kepada hambatan itu dengan hati murka. Oleh Rasulullah utusan itu disambut dengan lemah-lembut. Setelah terjadi pertukaran fikiran, putuslah perjanjian bahawa Rasulullah tidak diizinkan oleh mereka naik haji pada tahun itu.  Dan kalau naik tahun hadapan, tidak boleh membawa senjata. Selain itu, ada lagi perjanjian yang ganjil, iaitu kalau ada orang Mekah datang ke Madinah melindungkan diri, wajib dikembalikan ke Mekah. Tetapi kalau orang Madinah datang ke Mekah, tidak wajib orang Mekah mengembalikannya.

 

Perjanjian ini diakuri saja oleh Rasulullah SAW dan seketika diperbuat surat perjanjian, Saidina ‘Ali yang menjadi jurutulis. Surat itu akan dimulai dengan: Bismillahir rahmanir rahim. Akan tetapi ketua Quraish tidak bersetuju kerana di dalam adat istiadat mereka, perjanjian yang dimulai dengan kalimat itu belum pernah diterimapakai. Mereka tidak bersetuju dengan kalimat itu, minta ditukar dengan: Bismika Allahumma. Itulah yang telah diterimapakai selama ini di dalam surat-surat perjanjian Quraish.

 

Seketika dibuat oleh Saidina ‘Ali: “Inilah perjanjian di antara Muhammad Rasulullah” – ketua Quraish itupun tidak bersetuju pula. Dia minta ditukar dengan “Muhammad bin ‘Abdullah”. Katanya lagi: “Kalau kiranya kami telah bersetuju “Muhammad Rasulullah”, tentu saja perjanjian ini tidak akan diperbuat!”.

 

Saidina ‘Ali yang masih muda itu mulai enggan hendak menulis, kelihatan benar olehnya bahawa di dalam beberapa perjanjian, kita selalu ‘diperkuda-kuda’ oleh musuh. Saidina ‘Umar juga membangkang. Tetapi dengan muka yang hebat Rasulullah menyuruh tulis surat itu, jangan ditangguhkan. Oleh kerana takut menentang muka baginda, Saidina ‘Ali pun meneruskan menulis surat itu menurut kehendak orang Quraish. Hasilnya, tidaklah jadi Nabi naik ke Mekah, mencukupkan rukun.

 

Oleh sebab itu, ketika akan pulang ke Madinah dan ketua-ketua Quraish pun telah pulang ke Mekah, baginda perintahkan menyembelih dam dendaan menurut hukum agama. Mula-mula sahabat-sahabat itu enggan jua, kerana sangat kecewa hati mereka. Hampir pula Rasulullah marah. Maka dinasihatilah baginda oleh isterinya, Ummul Mu’minin, Ummu Salmah, katanya: “Sembelihlah lebih dahulu potongan paduka, tentu akan mereka turut beramai-ramai.”

 

Setelah sampai di Madinah, segala kemagsygulan itu dapat baginda ubati. Baginda bersabda:

 

“Satu perjanjian yang menguntungkan, kalau orang Mekah ke Madinah mesti dikembalikan ke Mekah. Orang itu tidaklah akan terbongkar iman dari hatinya meskipun di mana dia tinggal. Orang Madinah kalau pergi ke Mekah, tidak akan dikembalikan, orang inipun akan teguh memegang agamanya walaupun ke mana dia pergi. Sebab iman itu apabila masuk ke dalam hati yang suci, amat sukar akan keluar kembali.”

 

Demikianlah kira-kira maksud perkataan baginda.

 

Lain dari itu, apalah salahnya kalau Bismillahir rahmanir rahim ditukar dengan Bismika Allahumma, kalau penukaran itu nyata akan membawa untung, dan barang yang penukar tidak pula ada bahayanya. Begitupun Muhammad Rasulullah, baginda tidak keberatan menukarnya dengan Muhammad bin ‘Abdullah, sebab orang-orang itu memang belum masuk Islam, yang diakui baru Muhammad anak famili mereka juga, iaitu ‘Abdullah. Rasulullah tidak keberatan kerana yang demikian bukanlah mengenai asas (prinsip). Lain kalau sekiranya Bismillahir rahmanir rahim, minta ditukar dengan Bismil Wastan (dengan nama berhala), dan Muhammad Rasulullah minta ditukar dengan Muhammad Pendusta.

 

La ilaha illalLah, Muhammadur RasulullahLa ilaha illalLah, Muhammadur RasulullahLa ilaha illalLah, Muhammadur Rasulullah

 

Apakah keuntungan yang didapat Rasulullah lantaran tindakan yang kalau dilihat pada zahirnya seolah-olah ”mengalah” itu?

 

Namanya jadi sebutan oleh ahli-ahli budi, meskipun anak-anak muda yang menurutkan perasaan hati, tanpa timbangan, akan mengatakan dia seorang Nabi yang lembik. Hakikatnya kebaikan nama Nabi jadi sebutan di seluruh Tanah ‘Arab, menjadi buah perbincangan orang setiap hari. Sehingga sesampainya di Madinah berduyun-duyunlah utusan bangsa ‘Arab, datang dari segala ceruk jazirat itu, hendak mencari keterangan, sehingga sebelum penduduk di Mekah ditakhluk, lebih dahulu mereka terkepung dari segala pihak oleh orang-orang yang telah lebih dahulu percaya kepada Rasulullah SAW.

 

Bermacam-macam perangai orang yang datang, ada ahli syair, ada ahli pidato, ada yang bertabiat lemah-lembut, sebagai utusan-utusan Nasrani dari Najran, dan ada pula yang sangat kasar budinya. Ada yang masuk dengan untanya sekali ke dalam masjid, seraya bertanya dengan kasarnya:

 

“Siapa di antara tuan-tuan ini Muhammad?”

 

“Inilah dia,” kata Anas yang duduk dekat Nabi.

 

“Anak Abdul Muthalibkah engkau?”

 

“Benarlah,” kata Rasulullah.

 

“Engkaukah yang menyuruh sembahyang 5 waktu?”

 

“Benar……”

 

“Engkau pula yang menyuruh kamu puasa?”

 

“Dan yang menarik harta dari orang-orang kaya dan membahagikannya kepada orang-orang miskin?”.

 

“Semuanya itu benar,” jawab Rasulullah dengan tenangnya.

 

“Kalau demikian percayalah saya dengan engkau dan sekarang saya akan kembali pulang, menyeru kaumku pula, memeluk agama yang engkau bawa ini.”

 

Ketenangan Nabi melunakkan masuknya petunjuk ke dalam hati Badwi yang kasar itu, sehingga di dalam sekali pertemuan dia sudah masuk Islam.

 

Kediplomatan Nabipun tertampak pada waktu dia telah dapat menakhlukkan Mekah. Adalah kepada musuhnya yang kejam, Abu Sufyan, mertunya sendiri. Dengan satu perkataan saja dari mulut Nabi dan mulut-mulut orang suruhannya, Abu Sufyan “patah siku”, tidak dapat melawan, iaitu: “Siapa masuk ke masjid tidak akan diperangi, siapa masuk ke rumah Abu Sufyan tidak akan diperangi”.

 

Musuh macam apa sekalipun, kalau dia masih manusia, yang tidak akan “patah siku” kalau rumahnya disamakan dengan Masjidil Haram, dijadikan tempat perlindungan.

 

Lantaran sepatan perkataan itu, cukuplah untuk mempertautkan tali yang renggang demikian lamanya, perdamaian menantu yang bercita-cita luhur dan mertua yang kuat memegang adat lama. Sehingga di dalam peperangan Yarmuk, setelah bertahun-tahun Rasulullah menutup mata, adalah Abu Sufyan yang selalu menyerukan jihad mempertahankan agama Allah yang suci.

 

Memang Rasulullah SAW seorang diplomat tinggi!

 

La ilaha illalLah, Muhammadur RasulullahLa ilaha illalLah, Muhammadur RasulullahLa ilaha illalLah, Muhammadur Rasulullah

 

Ketinggian diplomat ini juga kelihatan dalam kisah Nabi dengan seorang Yahudi.

 

Pada suatu hari Nabi berhutang kepada seorang Yahudi, dan berjanji akan membayar hutangnya beberapa hari kemudian. Maka sebelum habis hari yang dijanjikan, Yahudi itu telah datang menunggui piutangnya. Lalu Rasulullah berkata: “Kan janji kita belum sampai?”

 

Dengan tidak segan-segan sedikit juga Yahudi itu berkata: “Memang kamu keturunan Abdul Muthalib, semuanya berat benar membayar hutang”.

 

Tidak sedikit pun berubah muka Rasulullah mendengar hinaan yang pedih itu, hanyasanya sahabat-sahabat yang naik darah.

 

Setelah agak tenang berkatalah Yahudi itu: “Segala isi kitab Taurat telah hamba baca ya Rasulullah. Di sana tersebut sifat-sifat Nabi akhir zaman yang akan memberi tuntunan kepada dunia. Dan segala sifat yang tersebut itu telah hamba ujikan, semuanya sesuai. Cuma satu sahaja lagi yang belum hamba buktikan. Di dalam Taurat menyebut: “Bilamana datang kepadanya orang yang sangat bodoh dengan perangai yang kasar, bukan marahnya yang bertambah, melainkan maafnya.” Hari ini hamba uji sifat itu dengan berhadapan – ternyata sesuai juga dan benar. Maka… Asyhadu an La ilaha illalLah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,” dan Yahudi itupun terus memeluk Islam!

 

Sungguh.. Rasulullah SAW itu seorang yang berdiplomasi tinggi!

Bagaimana dengan kita? Sekali lagi nasihat murabbi saya terpakai:

In matters of style, swim with the current; but in matters of principle, stand like a rock!

 

Siiru ‘ala barakatillah!

 

http://www.muhtarsuhaili.com/

Written by aferiza

June 11, 2007 at 2:26 am

Leave a Reply