Membelanjakan harta mengikut tuntutan syarak
NIKMAT yang diberikan seperti kenaikan gaji atau pangkat memerlukan pekerja menilai sumbangan mereka kepada kerajaan atau syarikat. Justeru, mereka perlu memberi yang terbaik daripada pelbagai aspek antaranya:
Bekerja lebih gigih bagi mencapai matlamat perkhidmatan terbaik dan bertaraf dunia.
Pekerja perlu meningkatkan produktiviti dan kualiti bekerja lebih cekap serta gigih memperbaiki sistem penyampaian. Selain itu bagi pegawai, hendaklah memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dengan mengurangkan kerenah birokrasi, sikap mesra, telus dan mementingkan kehendak pelanggan. Pekerja juga perlu mengelakkan perkara negatif yang boleh merosakkan imej perkhidmatan seperti sikap sambil lewa dalam kerja, terbabit dengan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, tabiat curi tulang dan pelbagai lagi amalan buruk.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya.” – (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sesungguhnya pekerjaan yang kita lakukan bukan saja mendapat gaji setiap bulan malah ia dikategorikan sebagai ibadat yang memperoleh pahala, ganjaran dan keberkatan di dunia dan akhirat. Sehubungan itu, Dr Yusof al-Qardawi dalam kitabnya al-‘Ibadah fi al-Islam, menggariskan beberapa prasyarat kerja yang kita laksanakan dinilai sebagai ibadah:
Mestilah mempunyai niat bagi mencari keredaan Allah dengan berkhidmat dengan ikhlas bagi mencari rezeki halal;
Pekerjaan itu diakui oleh syariat Islam;
Sepanjang bekerja ia tidak menganiaya dan mengambil harta orang lain sama ada menipu, mencuri mahupun terbabit dengan rasuah;
Pekerjaan itu dilakukan dengan kesungguhan dan penuh komitmen;
Ia tidak meninggalkan tuntutan ibadat khusus seperti meninggalkan solat ataupun enggan mengeluarkan zakat.
Mengurus kewangan secara bijak dan berbelanja secara berhemah:
Kenaikan gaji mudah menjadikan kita rambang mata dan lupa daratan dengan berbelanja besar, yang menyebabkan hidup dibelenggu kesusahan akibat berhutang. Sebaliknya manfaatkan dengan melabur dalam saham amanah yang diharuskan syarak dan simpanan untuk pendidikan.
Selain itu bagi memastikan kehidupan diberkati Allah, janganlah lupa menyimpan untuk menunaikan ibadat haji. Jika sebelum ini simpanan hampir kering kerana keperluan lain, sekarang adalah masanya memulakan kembali tabungan di samping menambahkan sedekah lebih-lebih lagi kepada ibu bapa dan golongan kurang bernasib baik.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (bakhil dan kedekut) itu.” – (Surah al-Furqan, ayat 67)
Menghindari Amalan Rasuah:
Dalam mengejar kekayaan dan kemewahan hidup terdapat segolongan manusia yang terlalu rakus dan tamak dengan harta benda, sehingga sanggup mencampakkan diri mereka ke lembah kebinasaan dan kehinaan dengan melakukan jenayah rasuah yang dikutuk Allah Taala.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak menahan (mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.” – (Surah al-Baqarah, ayat 188)
Rasuah bukan saja menyebabkan pelakunya sentiasa diburu perasaan bersalah, mengambil keuntungan secara mudah tanpa berusaha tetapi ia boleh meruntuhkan sistem dalam masyarakat, merugikan negara malah boleh mengorbankan manusia yang tidak berdosa.





