Pengkritik perlu bendung fitnah
Oleh Md Asham Ahmad
MAKALAH saya, mengandungi teguran terhadap golongan yang saya gelar ‘pelampau hadis’ disiarkan Berita Harian, 11 September 2007 dengan tajuk ‘Usaha ilmuwan Islam patut dihargai’ mendapat maklum balas Mohamad Abdul Kadir Sahak dari Institut al-Qayyim.
Ini adalah jawapan saya kepada rencana beliau yang saya rujuk Bin Sahak yang berjudul ‘Kekeliruan dan buruk sangka penyebab salah sangka’.
Memang benar permusuhan pihak tertentu daripada kalangan fuqaha dan muhaddithun terhadap ilmu tasauf dan ahlinya bukan perkara baru. Bin Sahak, dalam makalahnya, menyatakan pendiriannya tanpa ragu-ragu bahawa “…tasauf dan tokohnya sememangnya sudah banyak mencetuskan perkara pelik dalam agama yang jauh daripada petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, seperti kepercayaan wahdatul wujud…”
Disebabkan sedikit simpati yang saya tunjukkan khususnya kepada ilmu tasauf dan tokohnya, saya dianggap keliru dan berburuk sangka (terhadap ahli hadis). Pada bacaan Bin Sahak, saya menganggap tokoh seperti al-Ghazali, Ibn Arabi, al-Jili dan aliran pemikiran yang diwakili mereka sebagai ‘kudus’ daripada sebarang kritik.
Dalam makalah terdahulu, saya cuba menganjurkan sikap berhati-hati dan berbaik sangka supaya tidak menghukum secara jahil ahli ilmu dan tradisi yang mereka wakili. Justeru, saya tumpukan teguran kepada yang melampau, dengan harapan mereka kembali ke landasan yang saksama.
Bin Sahak, merujuk kepada kenyataannya nampaknya tidak berupaya untuk mengambil sikap sedemikian. Beliau tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman terhadap seluruh disiplin ilmu tasauf dan ahlinya.
Tiada dibuat perbezaan antara golongan yang menyeleweng dengan golongan berada di atas landasan yang benar. Semua itu dilakukan dengan alasan tidak ada sebarang tokoh atau aliran yang maksum.
Katanya: “…apalah yang hendak dikalutkan apabila ada ulama yang dikritik? Ulama juga manusia biasa, kadang-kadang mereka benar dan kadang-kadang mereka tersilap.”
Saya rasa Bin Sahak tidak senang dengan istilah ‘pelampau’. Mungkin beliau perlukan penjelasan lanjut kenapa istilah itu saya gunakan. Apabila seseorang itu disifatkan sebagai ‘pelampau’ ertinya ada batas yang sudah dilampaui.
Batas yang saya maksudkan dalam perbahasan ini ialah satu garis halus yang memisahkan antara mengkritik dengan memfitnah. Mengkritik dengan asas ilmiah yang kukuh adalah teras tradisi keilmuwan Islam.
Sebaliknya, menghukum membuta-tuli adalah tanda kejahilan dan kerosakan akhlak; ia mesti dibanteras kerana bisa mendatangkan fitnah. Tujuan kritik pada hakikatnya adalah bagi membezakan yang benar daripada yang palsu kerana kegagalan membezakan antara kedua-duanya punca berlaku fitnah. Dalam kata lain, kritik sepatutnya membendung fitnah, bukan menyebarkannya.
Demi membendung fitnah, muhaddithin menuntut supaya periwayat hadis mengemukakan sumber pengambilannya yakni apa yang dikenali dalam disiplin ilmu hadis sebagai sanad atau isnad.
Menurut Ibn Sirin, sanad terhadap sesuatu hadis asalnya tidaklah dititikberatkan sangat sehingga berlaku fitnah, merujuk kepada peristiwa pembunuhan Uthman yang membawa kepada perang saudara dan perpecahan di kalangan umat Islam.
Sejak itu sesiapa saja yang ingin meriwayatkan hadis perlu mengemukakan sumber pengambilannya, yakni sanad. Tujuannya bagi membendung fitnah supaya tidak berleluasa kerana amat besar mudaratnya kepada perpaduan kaum Muslimin.
Kata beliau lagi: “Jika tidak kerana isnad, sesiapapun boleh berkata apa-apa saja yang dia ingin kata.”
Sanad atau isnad adalah sandaran sesuatu kata-kata atau dakwaan. Sama ada kata-kata atau dakwaan itu diterima atau tidak bergantung, antaranya, kepada siapa yang menyatakannya. Dalam ilmu hadis, sanad yang tidak terputus sehingga kepada Rasulullah SAW adalah salah satu syarat utama penerimaan sesuatu hadis.
Syarat lain ialah berkenaan sifat kebolehpercayaan orang yang disebutkan namanya dalam rantaian sanad berkenaan yakni, adakah periwayatan mereka boleh dipercayai. Dalam soal ini Ibn Hajar umpamanya, membahagikan periwayat hadis kepada 12 martabat, yang sekali gus menentukan martabat hadis yang mereka riwayatkan.
Semua itu dikaji, dihalusi, dan ditentukan syaratnya bagi memastikan pembohong, pelupa, dan orang yang diragui akal budinya tidak diterima periwayatannya. Semua itu dilakukan dengan penuh susah payah bagi memastikan Rasulullah SAW tidak didustai iaitu tidak dinisbahkan kepada Baginda sebarang kata-kata atau dakwaan yang bukan darinya.
Tetapi bagaimana pula perbuatan menisbahkan pembohongan terhadap orang lain selain daripada Rasulullah SAW? Contohnya menisbahkan kata-kata yang mengandungi pendustaan, penyelewengan fakta, dan fitnah terhadap orang atau golongan tertentu sehingga mereka dianggap sesat dan dikafirkan oleh orang lain?
Dari segi prinsipnya perbuatan sedemikian, sama ada dilakukan terhadap Rasulullah SAW atau orang lain adalah tetap pembohongan. Yang membezakan satu pembohongan daripada yang lain ialah sebesar mana kemudaratan yang timbul darinya.
Pembohongan yang mendatangkan fitnah terhadap agama dan masyarakat Islam tentu mendatangkan mudarat yang amat besar, oleh itu ia mesti diperangi sehabisnya.
Bagaimana dengan tuduhan sesat yang sering dilemparkan terhadap ilmu tasauf dan ahlinya? Apakah alasan untuk kita tidak menuntut orang yang menjatuhkan hukuman itu dikenakan syarat yang sama, yakni sanad, sedangkan sudah terlalu banyak fitnah yang timbul dalam masyarakat akibat tuduhan itu? Mengulang kembali kata-kata Ibn Sirin: “Jika tidak kerana isnad, sesiapapun boleh berkata apa saja yang dia ingin kata.”
Adakah kerana ahli tasauf itu manusia biasa yang tidak maksum seperti Rasulullah SAW maka apa saja kata-kata boleh kita nisbahkan kepada mereka? Merujuk sekali lagi kepada kata-kata Ibn Sirin sebagai prinsip umum, kesimpulan yang tidak boleh dinafikan ialah sebarang dakwaan mesti disertakan dengan bukti yang sahih sebelum diterima, termasuk dakwaan bahawa ilmu tasauf dan ahlinya sudah lari daripada petunjuk al-Quran dan Sunnah seperti yang didakwa Bin Sahak.
Pendustaan boleh berlaku bukan hanya kerana kecacatan pada jalan periwayatan tetapi juga kerana ketiadaan keahlian di pihak perawi itu untuk menilai benar salah apa yang diriwayatkannya, maka timbul kemungkinan dia meriwayatkan kebatilan atau fitnah secara tidak disedari.
Berdasarkan prinsip di atas saya menafikan tuduhan Bin Sahak bahawa saya menganggap individu atau aliran tertentu tidak boleh dikritik, atau menggunakan kata-katanya sendiri, ‘kudus daripada dikritik’.
Saya hanya menuntut si pengkritik berlaku adil terhadap diri sendiri sebagai pengkritik, pihak yang dikritik, dan persoalan yang menjadi bahan kritikannya supaya tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar. (Artikel penuh sila layari laman web ikim www.ikim.gov.my)
Penulis ialah Felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia
INTI PATI:
- Mengkritik dengan asas ilmiah yang kukuh adalah teras tradisi keilmuwan Islam.
- Menghukum membuta-tuli adalah tanda kejahilan dan kerosakan akhlak; ia mesti dibanteras kerana bisa mendatangkan fitnah. Tujuan kritik pada hakikatnya adalah bagi membezakan yang benar daripada kepalsuan kerana kegagalan membezakan antara kedua-duanya punca berlaku fitnah. Dalam kata lain, kritik sepatutnya membendung fitnah, bukan menyebarkannya.
- Demi membendung fitnah, muhaddithin menuntut supaya periwayat hadis mengemukakan sumber pengambilannya yakni apa yang dikenali dalam disiplin ilmu hadis sebagai sanad atau isnad.
- Menurut Ibn Sirin, sanad terhadap sesuatu hadis asalnya tidaklah dititikberatkan sangat sehingga berlaku fitnah, merujuk kepada peristiwa pembunuhan Uthman yang membawa kepada perang saudara.






hey !!
its very interesting article.
Good post.
realy gj
thx :-)
MumsBlecitedgemig
September 2, 2008 at 9:55 pm